السبت، ٢٢ مارس ٢٠١٤

Ringkasan program-program ALA semester 2013/2014

Assalamualaikum,apa khabar semua rakan-rakan/sahabat2/teman seperjuangan BAR/kakak2 senior dan adik2 junior sekalian...

Alhamdulillah,sudah bermula tenure baru Secretariat of Arabic Language and Literature ALA IIUM, maka sudah bermula aktiviti-aktiviti yang sudah disusun dalam almanac...
Kami dipihak Mainboard dan Exco ALA mengharapkan SOKONGAN yang padu dari antum dan antunna untuk menghadiri semua program-program ALA...

Program-program yang tersenarai untuk semester ini:

1) Kelas Tadabbur Wahyu-(Fiqh Manhaji) -setiap hari Khamis jam 5.30 ptg..

2) Riadhah Jamaie Brother and Sister di Male/Female Sport Complex setiap hari Sabtu atau Ahad..

3) ALA Writing Workshop (11/4/204)

4) Skill On Interpreter (collaboration with Secretariat of IRKH) (12/4/2014)

5) LAW KAANA BAINANAA (PadaMu ku Bersujud) (15/4/2014)

6) Jaulah Thaqafiyyah ke ITBM/BERNAMA (18/4/2014)

7) Bowling Jamaie-Wangsa Walk (20/4/20

8) SPORT DAY IRKHS SS (26/4/2014)

9) Horse Riding and Archery (4/5/2014)

*****************************************************

TEAM yang bernaung di bawah ALA:

1)TEAM DJ RADIO- PIC: Farhana Abd Aziz (0132770813)

2)TEAM TRANSLATION- PIC: Hilman (0145171951)

3)TEAM KITABAH DAN KALAM- PIC: Hanisah (0148945011)

4)TEAM RISALAH ALIRSYAD- PIC: Ainus (0133473980)


Kami membuka seluas2nya pintu untuk antum dan antunna daftar bagi setiap program dan Team...bagi yang berminat untuk menyumbang dalam team diatas, boleh terus contact PIC ditalian seperti yang diatas...

Jazakumullah..


Regards,

Mohammad Yusoff Bin Nawawi
Chairman,
Secretariat of ALA IIUM

Nik Fatma Amirah Bt Nik Muhamad
Vice Chairman,
Secretariat of ALA IIUM

الخميس، ١٩ يوليو ٢٠١٢

Bagaimana kita menyambut Ramadhan?


Bagaimana kita menyambut Ramadhan?
Oleh
Khairol Amin (kamin@tm.net.my)


Ramadhan dianggap bulan termulia di dalam bulan-bulan Islam. Penurunan Al-Quran di dalam bulan Ramadhan menjadikan bulan ini sangat mulia lagi istimewa. Di dalamnya terdapat pelbagai fadilat yang harus dikejar oleh setiap umat Islam bagi mempertingkatkan kualiti keimanan dan ketaqwaan. Bulan Ramadhan juga dianggap sebagai Madrasah Kerohanian di mana pada bulan ini umat Islam diwajibkan berpuasa. Risalah kali ini akan memaparkan dua pesanan pilihan berkenaan cara kita menyambut Ramadhan.

Pesanan Shaikh Abdul Aziz bin Baz[1]

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa
sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu,
moga-moga kamu bertaqwa. [al-Baqarah 2:183]


Di dalam bulan puasa seorang Islam dilatih mengawal diri daripada berlebih-lebihan, seperti mengawal diri daripada keinginan memuaskan syahwat (di siang hari). Mengawal diri juga memiliki banyak faedah baik dari aspek kesihatan maupun ke arah kerohanian. Di antara faedahnya adalah seorang Muslim akan merasai kelaparan yang dilalui oleh seorang Muslim lain yang tidak memiliki makan atau minum yang mencukupi sebagaimana yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di Afrika.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang diutamakan, Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menurunkan Al-Quran (dalam bulan ini) dengan firmannya:

Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia,
dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan
antara yang benar dengan yang salah. [al-Baqarah 2:185]


Di dalam bulan Ramadhan terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu malam sebagaimana firman-Nya:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. [al-Qadr 97:1-3]


Selain itu diampunkan dosa-dosa yang lepas bagi mereka yang berpuasa dengan penuh iman dan azam. Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh
Allah mengampun dosa-dosanya yang telah lalu, dan barangsiapa yang bersolat pada malam Lailatul Qadar
dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.[2][Shahih Muslim – hadis no: 760]


Kewajipan berpuasa (juga mengajar kita) menjaga diri daripada perbuatan mengumpat (ghibah), mengadu, berbohong dan mendengar perkara-perkara hiburan. Ia mencegah kita daripada melakukan semua keburukan kepada memperbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, bersedekah dan bersungguh-sungguh di dalam melakukan amal ibadat khusus pada 10 terakhir bulan Ramadhan.

Demikian beberapa pesanan Shaikh Abdul Aziz bin Baz berkenaan hikmah dan keutamaan bulan Ramadhan.

Pesanan Dr Ahmad Abu Halabiah - ahli majlis tertinggi fatwa Palestine[3]

Terdapat beberapa adab yang perlu diperhatikan dalam bulan Ramadhan. Adab-adab tersebut adalah:

Pertama:
Sabar ke atas musibah dan kecaman yang menimpa. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam  mengajar kita bahawa pada hari Ramadhan, jika seseorang menyakitkan hati atau mencela kita maka katakanlah: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa... sesungguhnya aku sedang berpuasa.”[4]

Kedua:
Digalakkan bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana Ramadhan merupakan bulan ketaqwaan sebagai
mana firman-Nya:

Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan keatas kamu berpuasa
sebagaimana diwajibkan keatas orang yang terdahulu daripada kamu moga-moga kamu bertaqwa.
[al-Baqarah 2:183]

Ketiga:
Menjaga diri daripada mengumpat dan mengadu domba (gossip) kerana ia adalah perbuatan yang diharamkan secara mutlak sama ada di dalam bulan Ramadhan atau selain Ramadhan, akan tetapi pengharamannya diberi penekanan yang lebih jelas dalam Ramadhan.[5]

Keempat:
Sentiasa mengingati amalan agama, hal-ehwal sesama Islam dan membantu sesama Muslim menyelesaikan masalah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Sesiapa yang tidak memikirkan urusan umat Islam maka tidaklah dia termasuk golongan mereka.[6]

Kelima:
Dalam bulan yang mulia ini dianjurkan mengambil tahu hal ehwal keluarga kerana mereka itu adalah amanah dan bebanan (tanggung-jawab) kita sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka
yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu. [al-Tahrim 66:06]

Selain itu saya menasihatkan diri saya dan semua saudara-saudara Islam agar dimanfaatkan bulan Ramadhan dengan amalan-amalan yang baik berikut:
  1. Menjaga solat berjemaah bagi lelaki di masjid, dan bagi wanita pula menunaikan solat Jumaat dan menghadiri majlis ilmu.

  2. Menghadiri solat tarawih khasnya bagi lelaki dan tiada larangan bagi kehadiran wanita (di masjid) jika mereka ingin melakukan solat dan kepada mereka terdapat ganjaran.

  3. Memelihara solat malam (qiamullail) dan tahajud setelah pertengahan malam bagi lelaki dan wanita yang berkemampuan di dalam rumah.

  4. Beriktikaf untuk beberapa malam di bulan Ramadhan di masjid bagi lelaki tanpa menyebabkan gangguan di dalam kewajipan seharian khususnya bagi mereka yang mencari rezeki.[7]

  5. Memelihara pembacaan Al-Quran dan menggunakannya sebagai zikir harian. Pembacaan Al-Quran sekurang-kurangnya hendaklah setiap hari sehinggalah tamat keseluruhannya.

  6. Memperbanyakkan sedekah dan mengeluarkan zakat kepada orang-orang fakir, miskin, orang yang memerlukan, mereka yang berjihad di jalan Allah dan sumbangan kepada projek yang baik bagi kegunaan orang Islam seperti pembaikan masjid, pusat rawatan orang-orang tua, sekolah-sekolah dan lain-lainnya.

  7. Merapatkan silaturahim dan memperbanyakkan ziarah di dalam bulan Ramadhan.

  8. Dilarang melakukan kejahatan dan keburukan terhadap orang Islam secara umum dan jiran-jiran secara khusus. Pesan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
Seorang muslim ialah orang yang selamat lidah dan tangannya terhadap muslim yang lain.[8]

  


[1]               Majmu' al-Fatawa (http://www.binbaz.org.sa/Display.asp?f=Bz00239.htm)
[2]               Shahih Muslim – hadis no: 760 (Kitab Solat musafir dan qasar, Bab Anjuran qiyam Ramadhan)
[3]               Adab didalam Bulan Ramadhan. Live Fatwa (31-10-2002) IslamOnline, 2002.
(http://www.islamonline.net/livefatwa/arabic/Browse.asp?hGuestID=8I3Ww6)
[4]               Rujuk Shahih al-Bukhari – hadis no: 1904 (Kitab Puasa, Bab Mengatakan “Aku berpuasa” apabila dicela)
[5]               Ini berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
لَيْسَ الصِّيَامُ مِنَ الأَكْلِ وَالشُّرْبِ، إِنَّمَا الصَّيَامُ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ.
Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri daripada makan dan minum akan tetapi menahan diri daripada perkataan sia-sia dan kotor. [Hadis ini dikeluarkan oleh al-Hakim dan dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir – hadis no: 5376]
Larangan mengumpat dan mengadu domba tidak sahaja terhad kepada bulan Ramadhan tetapi berlaku umum untuk setiap masa dan tempat. Penekanan diberi dalam bulan Ramadhan sebagai latihan dan ulang-peringatan. Firman Allah:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;
Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.
Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. [al-Hujerat 49:11-12]
[6]               Rujuk al-Mu’jam al-Ausath oleh al-Thabarani, hadis no: 7473. Penyemak kitab ini, Shaikh Mahmud Hasan Ismail menilai sanadnya sebagai bertaraf hasan.
[7]               Maksudnya tidak disyorkan berjaga di malam hari sehingga menyebabkan seseorang itu mengantuk dan tidak dapat menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya pada esok hari.
[8]               Rujuk Shahih Muslim – hadis no: 41 (Kitab Iman).


sumber: sini

الثلاثاء، ١٧ يوليو ٢٠١٢

.:: ACADEMIC VISIT dari SMKA Sultan Azlan Shah, Perak ::.


Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, Arabic Language & Literature Association (A.L.A) baru sahaja selesai menyempurnakan program ACADEMIC VISIT SMKA SULTAN AZALAN SHAH, PERAK pada 14 & 15hb Julai baru-baru ini.  Program ini berakhir dengan jayanya walaupun banyak kesulitan yang dihadapi oleh komiti dan pihak sekolah sendiri. Alhamdulillah, Allah telah mempermudahkan segala urusan.

 Sebelum pihak sekolah sampai, tentatif diatur semula.


Program yang dirancang bermula pada waktu tengah hari pada 14hb terpaksa ditunda kerana pihak sekolah mengalami sedikit musibah yang mana bas yang dinaiki rosak di pertengahan jalan. Natijahnya, beberapa sub-program terpaksa dibatalkan pada saat akhir dan terpaksa diatur semula bersesuaian dengan masa yang ada.

Pada pukul 6.30 petang, pelajar dari SMKA SAS selamat sampai ke UIAM. Walaupun jauh tersasar dari waktu yang dijadualkan, tetapi semangat mereka tidak luntur untuk menimba ilmu bersama-sama para komiti dari A.L.A sendiri.


Ketibaan pelajar SMKA SAS.

Beberapa program telah berjaya dijalankan selama program ini berlangsung. Antaranya ialah Lailah Thaqafiyah, Qiyamullail, Explore Race, dan Sesi Bergambar.

Dinner sebelum program Lailah Thaqafiyah bermula.

Antara persembahan daripada pelajar.

Explore Race.

Antara komiti-komiti & fasilatator yang telibat sepanjang program:

NUR SYURA AIN BT ZAKARIA
AZRIATON BT JOHARI
NURUL SHIFAAH BT ABDULLAH
ANIS ZAFIRAH BT ZALI
SITI MUNIRAH BT ABDUL RAHIM
NOOR HASIAH BT HANIPA
KHAIRUN NADZIRAH BT ABD. HALIM
HAADHINAH BT HEDZER
WAN AINUL 'ATIFAH BT WAN NAIM
NURUL SYUHADA BT MD NOOR
NUR AIN BT REMANG
TENGKU NUR HANIS BT TENGKU BADRING SHAH
NURUL AZYAN BT AMIR NOORDIN
KHAIRUN NISAA BT MOHD
NOR ZAHIDAH BT AHMAD
ATIQAH BT ZAINUL ABIDIN
MOHAMAD FIRDAUS BIN MAHZAN
MULIA ALIMI SYUKRI BIN LADIN
MUHAMMAD HAKIM BIN IBRAHIM
AHMAD MAHFUZ BIN MUHD HAIRI
MOHAMAD HAZWAN BIN ABD RAHMAN
MOHD AKASHAH BIN MOHAMAD YUSOF
NURASIYAH BT ABDULLAH
FATIN AMIRAH BT AHMAD YAZI
NUR AININA SAKINAH BT ZULKIFLI
NURUL HIDAYAH BT MOHD NOOR
NURSYADZA ATHIFAH BT AHMAD ZAIDI
NUR HUSNA BT SAAID
SITI NOOR ASMA BT IBRAHIM
AINAA NADIAH BT ABDUL RAHAMAN
NORHAYATI BT ROSTAM
ZAHAROH BT FAJAR NINA PURNAMA ALAM

Pihak A.L.Aingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua komiti yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam menjayakan program ini. Tanpa sokongan dan usaha keras daripada kalian semua, program ini pasti tidak akan berjaya dengan jayanya. Jazakumullahu khairan katsira...

Ilal liqa'.




الثلاثاء، ١٠ يوليو ٢٠١٢

أهلا وسهلا يا رمضان!

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, sedar tak sedar, kita semua telah melangkah ke bulan Sya'ban. Hari ini sudah genap 20 Sya'ban 1433h. Bermakna tinggal lebih kurang sepuluh hari lagi umat Islam akan melangkah ke bulan yang penuh keberkatan, iaitu bulan Ramadhan...

Sudahkah bersedia untuk melangkah ke bulan Ramadhan? Sudahkah bersedia untuk memperbanyakkan amalan di bulan tersebut? Ini bukanlah soalan yang sesuai untuk ditanyakan, kerana amal ibadah tidak perlu dilakukan bersungguh-sungguh hanya pada bulan tertentu sahaja. Amal ibadah boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja. Jadi, tidak perlu menunggu Ramadhan, kita boleh memulakannya sekarang juga.

Tetapi, apa salahnya kita mengambil kelebihan tersebut. Mudah-mudahan kita semua beroleh rahmat daripada Allah SWT.

PERSEDIAAN MELANGKAH KE BULAN RAMADHAN

1) Berdoalah agar Allah swt. Memberikan kesempatan kepada kita untuk bertemu dengan bulan Ramadhan dalam keadaan sihat wal afiat. Dengan keadaan sihat, kita dapat melaksanakan ibadah secara maksima di bulan itu, baik puasa, solat, tilawah, dan zikir. Dari Anas bin Malik r.a. berkata, bahwa Rasulullah saw. apabila masuk bulan Rejab selalu berdoa, “Allahuma bariklana fii rajab wa sya’ban, wa balighna ramadan.” Ertinya, ya Allah, berkahilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan. (HR. Ahmad dan Tabrani)
Para salafush-soleh selalu memohon kepada Allah agar diberikan kurnia bulan Ramadhan dan berdoa agar Allah menerima amal mereka. Bila telah masuk awal Ramadhan, mereka berdoa kepada Allah, “Allahu akbar, allahuma ahillahu alaina bil amni wal iman was salamah wal islam wat taufik lima tuhibbuhu wa tardha.” Ertinya, ya Allah, kurniakan kepada kami pada bulan ini keamanan, keimanan, keselamatan, dan keislaman dan berikan kepada kami taufik agar mampu melakukan amalan yang Engkau cintai dan redhai.
2) Bersyukurlah dan pujian kepada Allah atas kurnia Ramadhan yang kembali diberikan kepada kita. Al-Imam Nawawi dalam kitab Adzkar-nya berkata, “Dianjurkan bagi setiap orang yang mendapatkan kebaikan dan diangkat dari dirinya keburukan untuk bersujud kepada Allah sebagai tanda syukur dan memuji Allah dengan pujian yang sesuai dengan keagungannya.” Dan di antara nikmat terbesar yang diberikan Allah kepada seorang hamba adalah ketika dia diberikan kemampuan untuk melakukan ibadah dan ketaatan. Maka, ketika Ramadhan telah tiba dan kita dalam keadaan sihat wal afiat, kita harus bersyukur dengan memuji Allah sebagai bentuk syukur.
3) Bergembiralah dengan kedatangan bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. selalu memberikan kabar gembira kepada para shahabat setiap kali datang bulan Ramadhan, “Telah datang kepada kalian bulan Ramadhan, bulan yang penuh berkah. Allah telah mewajibkan kepada kalian untuk berpuasa. Pada bulan itu Allah membuka pintu-pintu syurga dan menutup pintu-pintu neraka.” (HR. Ahmad).
Salafush-soleh sangat memperhatikan bulan Ramadhan. Mereka sangat gembira dengan kedatangannya. Tidak ada kegembiraan yang paling besar selain kedatangan bulan Ramadhan karena bulan itu bulan penuh kebaikan dan turunnya rahmat.
4) Rancanglah agenda kegiatan untuk mendapatkan manfaat sebesar mungkin dari bulan Ramadhan. Ramadhan sangat singkat. Kerana itu, isi setiap detiknya dengan amalan yang berharga, yang dapat membersihkan diri, dan mendekatkan diri kepada Allah.
5) Pelajarilah hukum-hukum semua amalan ibadah di bulan Ramadhan. Wajib bagi setiap mukmin beribadah dengan dilandasi ilmu. Kita wajib mengetahui ilmu dan hukum berpuasa sebelum Ramadhan datang agar puasa kita benar dan diterima oleh Allah. “Tanyakanlah kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui,” begitu kata Allah di Al-Qur’an surah Al-Anbiyaa’ ayat 7.
6) Sambut Ramadhan dengan tekad meninggalkan dosa dan tabiat buruk. Bertaubatlah secara benar dari segala dosa dan kesalahan. Ramadhan adalah bulan taubat. “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung.” [Q.S. An-Nur (24): 31]
7) Siapkan jiwa dan ruhiyah kita dengan bacaan yang mendukung proses tadzkiyatun-nafs. Hadiri majlis ilmu yang membahas tentang keutamaan, hukum, dan hikmah puasa. Sehingga secara mental kita siap untuk melaksanakan ketaatan pada bulan Ramadhan.
8) Siapkan diri untuk berdakwah di bulan Ramadhan dengan membuat catatan kecil untuk kultum tarawih serta ba’da sholat subuh dan zhuhur, memberikan buku saku atau lebaran yang berisi nasihat dan keutamaan puasa.
9) Sambutlah Ramadhan dengan membuka lembaran baru yang bersih. Kepada Allah, dengan taubatan nashuha. Kepada Rasulullah saw., dengan melanjutkan risalah dakwahnya dan menjalankan sunnah-sunnahnya. Kepada orang tua, istri,anak, dan kaum kerabat, dengan mempererat hubungan silaturrahim. Kepada masyarakat, dengan menjadi orang yang paling bermanfaat bagi mereka. Sebab, manusia yang paling baik adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.
Sumber : http://mujahidahsejati.blogdrive.com




الأربعاء، ٤ يوليو ٢٠١٢

MENJENGAH KE DUNIA LEKSIKOGRAFI BAHASA ARAB

Nota ini berasal dari artikel sebenar bertajuk ‘Menjengah ke Dunia Leksikografi Bahasa Arab’ tulisan Sdr. Khairil Husaini bin Jamil dalam Suara Madinah, Bil. 42, Tahun 44, Sesi 2004/2005 M terbitan Perpustakaan Pelajar Malaysia Madinah (PPM Madinah), Madinah Munawwarah, Arab Saudi.




Leksikografi ialah suatu bidang penyusunan kata dan penghasilan kamus. Isu leksikografi kurang diperhatikan dan kurang popular meskipun ia mempunyai kepentingan tersendiri. Secara umumnya, penyusunan kamus Bahasa Arab telah melalui beberapa peringkat perubahan yang dengan sendirinya mengkategorikan kamus-kamus tersebut kepada beberapa aliran. Kamus atau dalam Bahasa Arab disebut al-Mu'jam bermaksud sebuah kitab yang mengandungi lafaz-lafaz bahasa yang disusun mengikut kaedah tertentu, dihuraikan pengertiannya dengan jelas dan digandingkan dengan sebarang maklumat yang bersesuaian untuk pengguna mencapai maksudnya. Antara bentuk penyusunan kamus yang dihasilkan oleh para ilmuwan adalah seperti berikut:

1. SUSUNAN MENURUT PENENTUAN MAKHRAJ (FONETIK)

Kitab al-‘Ain karangan al-Khalil ibn Ahmad al-Farahidi

Pengarangnya ialah al-Khalil ibn Ahmad, Abu ‘Abd ar-Rahman, al-Yahmudi al-Azdi, al-Farahidi (meninggal 175 H). Al-Khalil ialah pemimpin utama dalam penyusunan kamus mengikut aliran ini. Beliau adalah guru kepada al-Asma‘i, Sibawayh dan al-Nadr ibn Shumayl. Di antara kejayaan al-Khalil ialah penciptaan ilmu ‘Arud yang menentukan rima syair Arab.

Kitab al-‘Ain adalah kitab pertama dalam aliran penyusunan ini yang al-Khalil sendiri dianggap sebagai pelopor kaedah penyusunannya. Beliau menyusun kamus ini mengikut makhraj huruf yang beliau tentukan sendiri. Ia bermula dengan huruf ‘ain kerana makhrajnya paling jauh dari mulut. Susunannya ialah: ع ح ه غ خ ق ك ج ش ض ص س ز ط ت د ظ ث ذ ر ل ن ب م و ي ا. Untuk mencari kedudukan sesuatu kalimah, pengguna perlu mengembalikan kalimah tersebut kepada binaan asal (wazan fa’, ‘ain dan lam) dan mencari huruf yang paling jauh makhrajnya dalam binaan tersebut. Sebagai contoh kalimah رجع, رعج, عجر, عرج, جرع semuanya dicari pada huruf ‘ain kerana binaan semua kalimah ini mengandungi huruf ‘ain dan huruf ‘ain berada paling awal dalam susunan makhraj al-Khalil. Contoh lain ialah kalimah ركب. Kalimah ini mengandungi huruf kaf yang merupakan huruf yang paling awal dalam susunan makhraj al-Khalil berbanding huruf ra’ dan huruf ba’. Oleh itu, kalimah ini dicari pada huruf kaf.

Kitab Tahdhib al-Lughah karangan al-Azhari

Pengarangnya ialah Muhammad ibn Ahmad ibn Azhar, Abu Mansur, al-Harawi al-Lughawi yang dikenali dengan al-Azhari (meninggal 270 H). Beliau turut mengikuti jejak al-Khalil dalam penyusunan kamusnya dengan beberapa pengemasan selaras dengan penamaan kitabnya sebagai kitab tahdhib (pengemasan).

2. SUSUNAN MENURUT PENENTUAN ABJAD

Kitab al-Jamharah karangan Ibn Duraid

Pengarangnya ialah Muhammad ibn al-Hasan ibn Duraid, Abu Bakr (meninggal 325 H). Ibn Duraid menamakan kitabnya dengan nama al-Jamharah kerana beliau telah memilih di dalamnya jumhur percakapan Arab.

Kaedah penyusunannya adalah sama dengan kaedah penyusunan al-Khalil tetapi yang membezakan aliran ini dengan aliran sebelumnya ialah cara susunan huruf kamus tersebut. Jika al-Khalil menyusun mengikut makhraj huruf, Ibn Duraid pula menyusunnya mengikut susunan huruf yang normal. Namun begitu, ia berbeza dengan kaedah penyusunan dalam aliran abjad normal kerana kita perlu memerhatikan huruf-huruf dalam binaan kalimah yang dicari maknanya dan mencari huruf yang paling awal dalam senarai di antara huruf-huruf kalimah tersebut. Kalimah tersebut dicari pada huruf yang paling awal dalam senarai. Sebagai contoh kalimahركب, كبر, ربك . Kalimah-kalimah ini dicari pada huruf ba’. Hal ini kerana dalam binaan ketiga-tiga kalimah tersebut, terdapat huruf ba’ yang merupakan huruf yang paling awal mengikut susunan alif hingga ya’ yang biasa.

3. SUSUNAN MENURUT AKHIRAN KALIMAH

Taj al-Lughah wa al-Sihah al-‘Arabiyyah karangan al-Jawhari

Pengarangnya ialah Ismail ibn Hammad, Abu Nasr, al-Jawhari al-Farabi (meninggal 393 H). Para pengkaji dan penyelidik bersepakat bahawa al-Jawhari adalah salah satu daripada keajaiban zaman dari sudut kepintaran dan kebijaksanaannya. Beliau dianggap sebagai pemudah kepada dunia perkamusan Bahasa Arab. Dipercayai bahawa kebijaksanaan beliau merupakan faktor yang menyebabkan beliau mencipta kaedah penyusunan kamus mengikut akhiran perkataan. Dalam Bahasa Arab ia dikenali sebagai Qawafi.

Kitab Sihah karangan al-Jawhari disusun berdasarkan akhiran perkataan. Pembaca yang ingin mencari sesuatu kalimah perlu melihat huruf terakhir pada kalimah (setelah dibuang huruf-huruf tambahan) dan kemudian melihat huruf terawal untuk mengetahui bahagian yang menempatkannya. Huruf terakhir pada binaan kalimah dicari pada bab dan huruf terawal pada binaan kalimah dicari pada bahagian. Contohnya dalam Bab Hamzah, Bahagian Wau, kalimah-kalimah yang akan kita temui ialah وبأ, وثأ, وجأ, ودأ, وذأ, ورأ, وضأ, وطأ, وكأ, ومأ dan seterusnya. Al-Jawhari juga bukan sekadar mengambil kira huruf terakhir dan huruf terawal, malah beliau turut menyusun pecahan selepasnya berdasarkan huruf kedua atau ketiga dalam binaan kalimah.

Lisan al-‘Arab karangan Ibn Manzur

Kitab ini adalah kitab yang paling masyhur di kalangan penuntut ilmu. Boleh dikatakan sebahagian besar penuntut ilmu akan membeli kitab ini. Pengarangnya ialah Muhammad ibn Mukarram ibn Ali yang dikenali dengan Ibn Manzur (meninggal 711 H).

Susunan asal Ibn Mandzur adalah berdasarkan akhiran kalimah seperti yang dinyatakan oleh pengkaji-pengkaji leksikografi Arab. Namun, untuk memudahkan pencarian dan membumikan manfaatnya, pencetak telah menukarkan bentuk susunan yang asal kepada susunan abjad yang normal.

Al-Qamus al-Muhit karangan al-Fairuz Abadi

Pengarangnya ialah Muhammad ibn Ya‘qub ibn Ibrahim, al-Fairuz Abadi (meninggal 817 H). Nama kitab ini yang sebenarnya ialah al-Qamus al-Muhit wa al-Qabus al-Wasit al-Jami‘ lima Zahaba min Kalam al-‘Arab Syamatit. Kitab ini begitu tinggi nilainya sehingga ia terkenal di timur dan barat. Bahkan, al-Qamus al-Muhit telah melampaui dunia ekabahasa dan menerobos dunia dwibahasa apabila ia diterjemahkan pula ke dalam Bahasa Parsi dan Bahasa Turki.

Taj al-‘Arus karangan Muhammad Murtada al-Husaini al-Zabidi

Sekali pandang, tajuk kitab ini pasti menarik perhatian individu yang melihatnya. Namun, kitab ini bukan kitab panduan pengantin raja sehari bercinta asmara. Kitab ini adalah satu khazanah ilmu yang cukup besar dan salah satu bukti kepada keunggulan dan keluasan Bahasa Arab. Pengarang yang bertanggungjawab menghasilkannya ialah al-Sayyid Muhammad Murtada al-Husaini (meninggal 1205 H).

4. SUSUNAN ABJAD NORMAL

Susunan ini adalah kaedah yang paling masyhur dan mudah kerana tidak memerlukan pembaca menghafaz kedudukan makhraj atau mencari huruf yang terawal dalam binaan kalimah. Untuk berinteraksi dengan kaedah susunan ini, pembaca hanya perlu mengembalikan sesuatu kalimah kepada binaan asalnya dan memerhatikan huruf pertama dalam kalimah tersebu. Kalimah افتعل misalnya dikembalikan kepada فعل dan dicari kedudukannya pada huruf fa’.

Asas al-Balaghah karangan al-Zamakhshari

Abu al-Qasim, Mahmud ibn Umar al-Zamakhshari (meninggal 538 H) cuba untuk membezakan karyanya dengan karya-karya ulama yang mendahuluinya. Beliau mendapati bahawa kamus-kamus sebelumnya sangat menitikberatkan makna kalimah, penerangannya, cara penyebutannya, bukti-bukti penggunaannya dan lain-lain aspek yang dirasakan perlu oleh ahli bahasa. Al-Zamakhshari ingin menonjolkan satu lagi medan yang berkait rapat dengan kalimah iaitu makna sesuatu kalimah dari sudut majaz. Beliau kemudiannya telah menyusun kamusnya berdasarkan tujuan tersebut.

Namun fokus kita di sini ialah susunan kamus beliau adalah berdasarkan susunan abjad yang normal. Sesuatu kalimah yang ingin dicari pengertiannya dikembalikan kepada binaan yang asal dan diperhatikan huruf pertama dalam binaan tersebut. Kemudian, kalimah tersebut dicari pada bab huruf tersebut yang disusun mengikut abjad yang normal.

Mukhtar al-Sihah karangan al-Razi

Pengarangnya ialah Muhammad ibn Abu Bakr al-Razi. Biografi tokoh ini pada mulanya tidak diketahui sehinggalah ia ditemui oleh al-Ustaz Hasan al-Sandubi dan diterbitkan dalam majalah al-Risalah tahun 1940 M. Pengarangnya al-Razi telah meringkaskan kitab al-Sihah karangan al-Jawhari dan menyusunnya mengikut alfabet yang normal.

Al-Misbah al-Munir karangan al-Fayumi

Pengarangnya ialah Ahmad ibn Muhammad ‘Ali al-Fayumi (meninggal 770 H). Beliau pada mulanya menghimpunkan kalimah-kalimah musykil yang terdapat dalam kitab Sharah al-Wajiz karangan Imam al-Rafi‘i. Setelah terhasil sebuah kitab yang cukup luas dan padat kandungannya, beliau berhasrat meringkaskannya supaya mudah digunakan dan diambil manfaatnya. Oleh itu, lahirlah kitab al-Misbah al-Munir yang mengikut kaedah penyusunan alfabet yang normal.

Al-Mu‘jam al-Wasit keluaran Majma‘ al-Lughah al-‘Arabiyyah

Setelah melalui zaman penjajahan, umat Islam dan Arab khususnya mula menderitai kelemahan di dalam penguasaan Bahasa Arab. Penjajahan mencorak bangsa mengikut acuan mereka dan mengubah tradisi kehidupan supaya umat Islam menjauhi Bahasa Arab yang memiliki ikatan yang intim dengan ajaran Islam. Sehinggalah berlakunya desakan yang kuat untuk menubuhkan Majma‘ al-Lughah al-‘Arabiyyah pada tahun 1934 M. Antara hadiah kelahiran organisasi ini ialah terbitnya al-Mu‘jam al-Wasit yang dirasakan mampu memimpin penutur Bahasa Arab dalam arus kemodenan dan perkembangan semasa. Fokusnya, al-Mu‘jam al-Wasit telah disusun mengikut kaedah penyusunan alfabet yang normal untuk memudahkan masyarakat awam dan penuntut ilmu merujuk kepadanya.

5. SUSUNAN SEMASA

Al-Ra’id karang Jabran Mas'ud

Kamus yang disusun oleh U. Jabran Mas‘ud ini diterbitkan di Beirut pada tahun 1964 M. Perkataan-perkataan di dalamnya disusun megikut susunan abjad yang normal. Pembaca boleh mencari kalimah di dalamnya tanpa menentukan huruf-huruf binaan asal atau membezakan di antara kata terbitan dengan bentuk asalnya. Pembaca hanya memerhatikan awal kalimah dan terus mencarinya berdasarkan susunan abjad yang biasa.




Sumber : Ustaz Khairil Husaini bin Jamil.